Akibat mabuk, seorang lelaki hilang pertimbangan lalu menetak isterinya sehingga mati menggunakan senjata tajam dalam kejadian amuk di sebuah kebun lada berdekatan Rumah Panjang Ringkai Kerapa, Spak, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Wan Zaizodin Wan Jaafar berkata, mangsa Lenjai Uli, 40, maut akibat parah di kepala akibat dibunuh suaminya, Tuan Jilom, 42.
Suami Mabuk Tetak Isteri Hingga Mati
Suami Mabuk Tetak Isteri Hingga Mati
“Polis menerima laporan kejadian itu jam 10.05 pagi kelmarin di Balai Polis Betong. Sepasukan anggota polis dan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bergegas ke lokasi kejadian.
“Difahamkan, kejadian berlaku jam 9.50 pagi sebelum itu dan dikatakan bermula akibat pertengkaran pasangan suami isteri berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Wan Zaizodin berkata, siasatan awal mendapati lima kesan tetakan di kepala dan badan mangsa.
“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pasangan suami isteri yang mempunyai dua orang anak itu dipercayai bertengkar akibat salah faham.
Bagaimanapun, suspek yang dalam keadaan mabuk tiba-tiba mengamuk dan membunuh isterinya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat.
Tweet |